Isu keselamatan makanan atau food security hari ini bukan lagi sekadar persoalan sama ada makanan mencukupi di pasaran
Dalam dunia yang berdepan perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos bahan mentah dan kebergantungan kepada import, keselamatan makanan turut bergantung kepada bagaimana makanan dihasilkan, diproses, disimpan dan diedarkan kepada pengguna.
Bagi Malaysia, cabaran ini menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh. Selain memperkukuh sektor pertanian dan penternakan, negara juga perlu membina keupayaan dalam teknologi pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan, pengeluaran berskala komersial serta sistem bekalan makanan yang lebih cekap.
Dalam ekosistem ini, Malaysian Bioeconomy Development Corporation atau Bioeconomy Corporation memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan syarikat bioekonomi tempatan. Pure Mylk sebagai syarikat berstatus BioNexus dan Lai Hin Trading Sdn. Bhd. sebagai syarikat di bawah program Bio-based Accelerator (BBA) merupakan antara contoh syarikat tempatan yang membangunkan inovasi makanan selaras dengan aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), khususnya dalam aspek bioinovasi, kemampanan dan keselamatan makanan.
Pure Mylk memberi tumpuan kepada teknologi pemprosesan minuman berasaskan tumbuhan, manakala Lai Hin Trading Sdn. Bhd. pula menggunakan penyelidikan dan inovasi dalam pengeluaran produk berasaskan telur itik. Kedua-duanya bergerak dalam bidang berbeza, namun usaha mereka memperlihatkan satu perkara penting, iaitu makanan tempatan boleh dipertingkatkan nilainya melalui teknologi, inovasi dan pengurusan pengeluaran yang lebih baik.
Minuman berasaskan tumbuhan pilihan mampan
Berpusat di Pulau Indah, Selangor, Pure Mylk adalah syarikat pembuatan strategik minuman berasaskan tumbuhan perintis di Malaysia, dengan aspirasi membantu pelbagai jenama membawa produk inovatif berasaskan bioteknologi dan sains makanan ke pasaran dengan lebih pantas, bijak dan mampan.
Melalui pendekatan itu, Pure Mylk membantu menukar bahan pertanian kepada produk makanan dan minuman yang selamat, bernutrisi, berskala komersial serta bersedia untuk pasaran. Peranannya turut merangkumi penyelidikan dan pembangunan, formulasi produk, ujian rintis, pemprosesan aseptik, pembungkusan dan pengeluaran berskala besar.
Pure Mylk menghasilkan minuman berasaskan tumbuhan seperti susu oat, beras, badam, kelapa, pistachio dan walnut. Namun, kekuatan syarikat itu bukan hanya pada produk akhir, sebaliknya pada teknologi yang digunakan bagi memastikan produk dihasilkan dengan kualiti konsisten, selamat dan sesuai untuk pengedaran berskala besar.
Antara teknologi utama yang digunakan ialah pemprosesan enzimatik dan sistem aseptik VTIS Direct Steam Injection UHT. Secara mudah, teknologi ini membantu menghasilkan minuman dengan tekstur lebih halus, lebih stabil dan boleh disimpan lebih lama. Ia juga membolehkan produk dibungkus dengan selamat dan disimpan pada suhu bilik tanpa terlalu bergantung kepada peti sejuk.
Dalam konteks keselamatan makanan, keupayaan seperti ini penting kerana produk bernutrisi hanya benar-benar memberi manfaat apabila ia boleh diedarkan dengan baik, disimpan dengan mudah dan sampai kepada pengguna dalam keadaan selamat.
“Sekuriti makanan bukan hanya tentang menghasilkan makanan yang mencukupi. Ia juga tentang bagaimana nutrisi boleh diproses, dipelihara, diedarkan, disimpan dan diakses secara mampu milik pada skala yang lebih besar.
“Melalui teknologi pemprosesan makanan dan keupayaan pembuatan tempatan, Malaysia boleh membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan, kurang bergantung kepada rantaian bekalan luar dan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pure Mylk, Marcus Khoo.
Marcus berkata, Pure Mylk mahu menyumbang kepada ekosistem teknologi makanan dengan memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan, pengetahuan teknikal, kesediaan eksport halal dan infrastruktur inovasi.
“Negara yang menguasai sistem makanan masa depan bukan sahaja negara yang menanam hasil pertanian, tetapi juga negara yang menguasai teknologi pemprosesan, sains nutrisi dan keupayaan pembuatan berskala besar. Pure Mylk mahu menjadi sebahagian daripada masa depan itu,” katanya.
Keupayaan teknologi dan pembuatan Pure Mylk turut membuka ruang kepada syarikat itu untuk terlibat dalam projek serta kerjasama dengan rakan pasaran termasuk United Kingdom, Arab Saudi dan Jepun.
Pure Mylk juga melihat peluang untuk menaik taraf bahan pertanian bernilai rendah kepada produk makanan bernilai tinggi. Sebagai contoh, beras perang hancur yang lazimnya dianggap sebagai bahan sampingan dalam rantaian pertanian boleh diproses menjadi minuman beras perang yang stabil, bernutrisi dan sesuai untuk pasaran lebih luas.
Bagi menyokong pembangunan produk baharu, Pure Mylk turut membangunkan The Mylky Way Innovation Centre yang menyatukan R&D, ujian rintis, sokongan kawalan kualiti, mikrobiologi, penilaian sensori dan kolaborasi teknikal. Pusat ini membantu usahawan, pemilik jenama, penyelidik dan pemain industri menguji serta memperbaiki produk sebelum dibawa ke pengeluaran komersial.
Berhubung sokongan Bioeconomy Corporation, Marcus berkata, pengiktirafan sebagai syarikat berstatus BioNexus membantu memperkukuh kedudukan Pure Mylk sebagai pemain teknologi makanan yang berteraskan inovasi.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti Pure Mylk dalam menjalin kerjasama dengan pihak industri, pelabur, universiti, agensi kerajaan dan rakan antarabangsa, malah sokongan ekosistem yang disediakan Bioeconomy Corporation turut membantu syarikat menyelaraskan hala tuju pertumbuhan dan inovasi dengan keutamaan negara, khususnya dalam aspek keselamatan makanan, kelestarian, pengkomersialan bioteknologi serta pembangunan pembuatan termaju,” katanya.